PERUTUSAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT Perutusan Hari Kemerdekaan 2005
Perutusan Hari Kemerdekaan 2005
Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail
SEMENTARA dalam Bulan Kemerdekaan ini banyak kenduri kesyukuran, pelbagai acara keraian dan pesta, kita seharusnya
tidak lupa untuk mengimbau kembali makna perjuangan tatkala ramai ibu-ayah dan generasi terdahulu yang bergelut untuk
memerdekakan negara. Hanya dengan menoleh ke belakang, menyorot perjuangan masa lalu dan hari ini menginsafinya, akan
membolehkan setiap rakyat kembali menyedari hak-hak asas mereka sebagai Warganegara, sebelum dapat menikmati
“kemerdekaan yang bermakna.”
Tatkala Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memashyurkan kemerdekaan negara, atas muafakat semua kaum,
Tunku telah menjanjikan bahawa negara ini harus terus menjadi sebuah negara yang demokrasi, menjunjung tinggi prinsip
keadilan dan menjamin bahawa hak setiap kaum dan ras, setiap penganut agama dan tradisi untuk mendapat hak masing-
masing. Itulah erti “kebebasan” yang harus dipertahankan.
Dengan itu, maka ternafikan dakwaan kononnya negara kita merdeka atau lahir daripada semangat perkauman, perbezaan ras,
mahupun daripada faham perbezaan agama dan tradisi yang sempit dan mengongkong.
Namun, setelah hampir setengah abad usia negara ini, ada pihak yang gagal menghayati maksud dalam Permasyhuran
Kemerdekaan tersebut. Pihak penguasa, terutama komponen parti-parti pemerintah terus menjadikan perbezaan warna kulit
dan faham agama yang sempit sebagai teras untuk terus berpengaruh dan berkuasa. Atas sikap ini, ruang sivil rakyat menjadi
terpisah-pisah dan terbahagi menjadi kecil, tidak bermaya. Hanya dengan cara itu sahajalah parti pemerintah, bukan sahaja
dapat mengekalkan kuasa, malahan dapat terus menekan rakyat dengan pelbagai undang-undang yang menindas.
Akibat terlalu lamanya keadaan ini, maka segala kebusukan dan kebejatan sudah dianggap sebagai satu kelaziman, atau
‘lumrah hidup’.
Kesan daripada budaya takut ini atau climate of fear, maka suara atau undi rakyat tidak memberi apa-apa makna. Rakyat hanya
diperlukan untuk tempoh lima tahun sekali, hanya untuk mengesahkan proses pilihan raya, sebagai, kononnya proses demokrasi.
Kita lihat bagaimana beribu juta ringgit dibazirkan tatkala pemimpin kerajaan ghairah untuk mencapai sesuatu dasar yang mereka
ciptakan. Sebagai contoh, wang hasil cukai telah dibelanjakan dengan begitu besar untuk membangunkan projek mega dan
mewah sehingga fundamental economy negara kita langsung tidak difikirkan dan tidak dapat bertahan ketika negara diserang
krisis matawang pada lewat 1997.
Keadaan tersebut diparahkan lagi apabila dalam kegelisahan ketika berhadapan dengan krisis ekonomi, ada pihak mengambil
kesempatan untuk menyelamatkan diri dengan melakukan rasuah dan korupsi, menyuburkan nepotisme dan kronisme. Dalam
masa yang sama, rakyat diminta ‘berkorban’, terus berpegang kepada semangat patriotisme dan sayangkan negara, tetapi
pemimpin dan elit politik sendiri yang rupa-rupanya mengkhianati amanah yang diberikan.
Rakyat juga melihat bagaimana Wawasan 2020 seolah-olah menjadi ‘lesen penuh’ bagi mengizinkan pemerintah menggunakan
sebesar-besarnya wang kutipan cukai daripada individu dan industri dalam negara—perbelanjaan yang seolah-olah tanpa tapal
batasnya. Perlu saya tegaskan bahawa KeADILan tidak pernah membantah projek pembangunan sekiranya projek itu benar-
benar dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan dilaksanakan pada saat yang betul. Tetapi kami membantah sekiranya
projek mega lebih untuk nampak bergaya, bermegah dan sombong ke langit sedangkan nasib rakyat di bumi sendiri terabai.
Boleh dikatakan semua projek mega kerajaan telah memakan belanja yang berlebihan, atau “over price.” Sekali pun terlihat
betapa hebatnya Kuala Lumpur City Centre (KLCC), rangkaian keretapi moden di Kuala Lumpur seperti Putra LRT, Monorel,
Star LRT, juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya sehinggalah Pusat Pentadbiran Kerajaan
Putrajaya, tetapi semua ini ‘dibeli’ dengan harga yang cukup lumayan.
Hari ini, banyak projek yang kononnya atas nama kepentingan rakyat ternyata tidak memuaskan. Ini termasuklah Cyberjaya
dan lembah silikon; semua rangkaian keretapi yang melingkari kota Kuala Lumpur; dan KLIA yang perlu terus diubahsuai
selepas kurang daripada sepuluh tahun pembinaannya. Bahkan, ada projek yang ternyata terus gagal seperti “E-Village”
(sebuah perkampungan perfileman moden dalam wilayah Cyberjaya), yang kini tapak projek itu hanya menjadi padang jarak
padang terkukur, ditumbuhi lalang dan kembali menjadi belukar sedangkan wang yang dibelanjakan untuk projek berkenaan
menelan million ringgit.
Harga yang terlalu mahal yang perlu dibayar rupa-rupanya bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi sudah menjangkau
kepada nilai pengorbanan rakyat—pengorbanan keringat, air mata dan darah—yang sungguh memilukan sanubari dan
menyentuh dhamir kita.
Dalam masa yang sama, penduduk luar bandar terbiar, nasib golongan bawah dan miskin tidak dipedulikan. Kelompok yang
sewajarnya disediakan fasiliti dan mendapat bantuan seperti golongan intelektual, akademia dan seniman terlihat masih
bergelangdangan. Semakin ramai anak-anak mahasiswa yang terpaksa berhimpitan menyewa rumah. Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU) yang sudah memamah hampir keseluruhan sistem dan nilai pendidikan tinggi negara. Minda mahasiswa
sebagai generasi pelapis yang kita harapkan pun terpasung sehingga seolah-olah hilang idealisme dan akal budi mereka. Begitu
juga dengan nasib pekerja biasa yang nampaknya tidak berubah sejak sepuluh tahun lalu. Perumahan rakyat—kos rendah dan
sederhana—yang mampu dimiliki oleh sebahagian majoriti rakyat masih terasa begitu mahal apabila tidak seimbang dengan
pendapatan per-kapita rakyat.
Kepada sekelompok pemimpin dan elit politik masih tidak pernah mahu merenung, bermuhasabah dan mengkritik diri. Nampak
seperti hanya cukup dengan menuding ke arah cara dan kesan pemerintahan terdahulu, sebagai alasan berapa buruknya
keadaan hari ini. Apakah kita lupa bahawa golongan pemerintah hari ini juga tidak berbuat apa-apa ketika segala macam
kebejatan dan pembaziran dilakukan oleh pemerintahan terdahulu.
Bahkan ramai di antara pimpinan sekarang juga merupakan ‘soldadu’ bekas Perdana Menteri terdahulu. Sikap tuding jari,
salah-menyalahkan dan bercakaran seperti yang berlaku hari ini dikalangan pemimpin pemerintah nampaknya tidak akan
menyelesaikan masalah. Industri kereta nasional, terutamanya Proton, terus tidak mampu bersaing disamping keyakinan
pembeli juga semakin merosot. Bahkan model baru Proton (Savvy) yang dilancarkan beberapa bulan lalu juga tidak mendapat
sambutan yang cukup menggalakkan. Apakah para pemimpin berkenaan masih mahu menafikan bahawa semua kemusnahan
keyakinan pembeli ini tidak ada hubung-kaitnya dengan sikap, perangai dan kelemahan mereka?
Demi menutup semua kelemahan tersebut, pandangan dan cetusan idea oleh pemerintah hanya ibarat tikus memperbaiki labu.
Gagasan dan idea yang dicadangkan kepada rakyat masih kabur, dan tidak berdiri atas ilmu dan kesedaran yang bulat.
Gagasan, idea dan dasar yang diutarakan cuma cebisan-cebisan retorika politik cara lama, samada konsep “Hadhari”
(yang cuba ditiru daripada ucapan bekas Presiden Pas, Allahyarham Yusuf Rawa yang bertajuk “Menuju Tajdid Hadharah”)
sampailah kepada istilah “Glokal” yang tidak lebih hanya sebagai angan-angan Mat Jenin.
Bahkan, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang cuba dihidupkan kembali itu bolehlah dikatakan sebagai bersifat tertutup, atau
“dirigisme,” tanpa perbincangan dengan pakar-pakar daripada pelbagai bidang terlebih dahulu.
‘Semangat’ DEB, yang dilaungkan konon untuk membela nasib orang Melayu diutarakan ketika semua rakyat terhimpit oleh
keadaan ekonomi yang masih belum kembali mampan, atau sustainable. Rakyat terpaksa terus menanggung beban kesan
kenaikan diesel dan petrol; ketika kadar inflasi terus meningkat sejak lebih setahun lalu; ketika tarif tol naik dan seperti tanpa
berpenghujung, ketika kerajaan membeli kapal perang dari luar negara dengan harga jutaan ringgit, dan projek seumpama yang
gagal disiapkan dalam negara; ketika ribuan mahasiswa tidak mempunyai pekerjaan, bahkan ketika pencemaran udara [jerebu]
parah meliputi beberapa tempat di negara kita, yang rupa-rupanya disebabkan oleh tindakan syarikat Malaysia sendiri yang
membakar hutan-belukar di Sumatera, Indonesia. Oleh itu, semua implikasi daripada ketidakcekapan dan pembaziran kerajaan
bukan hanya dirasai oleh satu kaum sahaja, malah membelenggu setiap rakyat daripada semua kaum di Malaysia.
Saya tidak mahu menafikan hasrat dan niat DEB ketika dasar itu pertama kali diperkenalkan pada awal tahun 1970-an dahulu.
Namun begitu, sejak lebih 20 tahun kemudian, Dasar tersebut jelas telah dimanipulasi oleh segelintir golongan yang mahu
memperolehi habuan kekayaan yang cepat, tanpa gigih berusaha. Lebih malang apabila dasar tersebut dimanipulasi oleh parti
pemerintah untuk menjaga kepentingan dan survival mereka.
Dalam masa yang sama, KeADILan tidak cuma berniat untuk mengkritik. Semangat teras DEB ialah seperti yang diungkapkan
oleh Prof. Diraja Ungku Aziz iaitu untuk membasmi kemiskinan. Sudah tentu maksud “membasmi kemiskinan” harus meliputi
semua kaum, semua sempadan dan wilayah dalam negara kita. Oleh itu, kami juga menegaskan betapa perlunya sebuah pelan
atau dasar ekonomi yang meliputi semua kaum yang keupayaan ekonominya masih terlalu lemah dan tertinggal.
Kepada semua rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini.
Merdeka !
Reformasi !
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).