Perbahasan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail
Wakil Permatang Pauh mengenai rang undang-undang
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005
Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail
Tuan Yang Dipertua,
1. Selepas penubuhan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta) berikutan krisis kewangan 1997, rang
undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005 merupakan satu lagi cadangan memberi kuasa mutlak dan imuniti
undang-undang kepada satu Perbadanan yang ditubuh oleh kerajaan, kononnya untuk memberi pelindungan terhadap kehilangan
sebahagian atau kesemua deposit di institusi perbankan dan institusi kewangan. Demikian maksud Perenggan 4(1)(b) objektif
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005. Walaupun Perenggan 4(1)(d) menyelitkan objektif penubuhan Perbadanan
sebagai usaha untuk menggalak atau menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan, keraguan tetap timbul apakah yang
dibimbangi oleh kerajaan sehingga terpaksa mewujudkan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005?
2. Kami ahli-ahli parlimen mahu tahu kenapa deposit yang disimpan perlu diinsurankan? Bukankah didalam sistem ekonomi
berasaskan pasaran modal, sistem perbankan yang kukuh dan selamat menjadi pra-syarat. Kawalan oleh Bank Negara Malaysia
keatas institusi kewangan melalui Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 dan Akta Bank Islam 1983 sepatutnya
mencukupi untuk memastikan deposit yang disimpan di bank selamat dan memberi pulangan kepada pendeposit. Rakyat
digalak untuk menabung dibank dan tidak di bawah bantal dirumah. Simpan dibawah bantal dikira tidak selamat kerana takot
rumah dimasuki pencuri. Tetapi melalui rang undang-undang ini terbongkar rahsia bahawa simpanan dibank juga tidak selamat
dan perlu diinsurankan.
Tuan Yang Dipertua,
3. Izinkan saya meneruskan perbahasan dengan menyentuh 4 persoalan:
3.1 Apa perlunya Akta ini?
3.2 Kuasa Melampau dan Immuniti yang diberi kepada Perbadanan melalui Akta ini.
3.3 Kos kepada Pendeposit
3.4 Kesan ‘Capital Flight’ daripada perlaksanaan Skim Insuran Deposit.
4. Apa Perlunya Akta ini?
Didalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan menambah keyakinan pelabur, cadangan akta ini merupakan
petanda jelas bahawa kerajaan mengetahui ada amalan tidak sihat didalam sistem perbankan kita sehingga menyebabkan
sebahagian atau kesemua deposit diinstitusi perbankan dikhuatiri akan hilang. Rakyat ingin mengetahui bagaimana ini akan
berlaku, apa puncanya, berapakah anggaran jumlah kehilangan dan manakah institusi kewangan yang terlibat? Melalui cadangan
Akta ini kerajaan seolah-olah sudah mengetahui satu financial tsunami (dengan izin) akan melanda negara kita. Kalau tidak, apa
perlunya ditubuhkan Perbadanan untuk mengatasi kehilangan deposit dibank? Kenapa deposit dibank perlu diinsuranskan?
Fenomena ini sama dengan langkah seseorang yang mengetahui kemusnahan besar akan berlaku terhadap hartanya dan dia
mengambil lindungan insuran yang besar untuk menampung kerugiannya.
5. Saya berharap Menteri Kewangan akan berkongsi dengan kita kebimbangannya. Sekiranya YAB menafikannya kami
mempersoalkan cadangan Akta ini yang merupakan langkah retrogresif (dengan izin) didalam pengurusan sistem kewangan
negara. Sepatutnya sistem kewangan dan perbankan terus melalui proses ‘Deregulation’ (dengan izin) untuk menarik modal dan
deposit dari luar negara. Bayaran premium bagi insuran deposit akan menambah kos kepada pendeposit. Bukan sahaja modal
luar tak akan masuk ke dalam negara kita bahkan kemungkinan besar deposit dalam negara akan mengalir keluar ke pasaran
yang kurang kerenah birokrasi dan memberi pulangan tinggi.
Tuan Yang Dipertua,
6. Mengikut penganalisis pelaburan, bagi tahun 2006 hutang tidak berbayar akan meningkat di sektor perbankan dan sektor
korporat pula akan melaporkan keuntungan yang berkurangan. Ini berlaku kerana iklim ekonomi yang lembab dikebanyakan
sektor kecuali sektor minyak dan gas. Ketidakupayaan kerajaan menampung kelembapan ekonomi dan slack(dengan izin) yang
berpunca dari kelemahan sektor swasta memburukkan lagi keadaan. Saya bersimpati terhadap Menteri Kewangan hari ini yang
terpaksa memikul beban peninggalan dari Menteri Kewangan sebelumnya. Defisit 6 tahun berturut-turut, tambatan ringgit yang
sudah melampaui masa, rasuah yang sudah berinstitusi dan kos pengurusan asset negara yang tinggi tidak memberi banyak
pilihan kepada Menteri Kewangan selain tunduk kepada tekanan dan beban kewangan. Menteri Kewangan tidak cukup modal
dan senjata untuk mengambil ‘counter-cyclical measures’(dengan izin) untuk mengimbangi putaran ekonomi yang lembab.
7. Saya mencadangkan supaya Menteri Kewangan lebih imaginatif(dengan izin) didalam mencari peluang untuk merangsang
ekonomi negara. Banyak sudah diperkatakan tentang galakan kepada usahawan kecil dan sederhana (SME) tetapi komitmen
agensi kerajaan dan pihak perbankan belum jelas. Suntikan projek RM2.0 billion tidak cukup untuk memenuhi keperluan
kontraktor kelas F seramai 56,000 orang. Harus diingat bagi setiap kontaktor berdaftar ada lagi 5 kontraktor yang tidak
berdaftar yang mencari peluang disektor swasta atau menjadi sub-kontraktor kepada kontraktor berdaftar. Kerajaan pernah
dua kali memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM 7 billion. Kedua-duanya bagai mencurah air didaun keladi.
Tiada pemulihan yang berlaku.
8. Mana ada syarikat atau usahawan yang mempunyai simpanan deposit diinstitusi kewangan? Semuanya berhutang, mencagar
semua harta yang ada termasuk rumah peribadi, gagal membayar ansuran kereta dan rumah, terpaksa meminjam dari Ah Long
dan hidup dalam keadaan resah. Hari ini, golongan peniaga, professional dan usahawan memang mengalami kesukaran yang
teruk untuk melangsungkan perniagaan mereka.
Tuan Yang Dipertua,
9. Selain golongan kontraktor, mari kita jenguk sebentar kepada nasib golongan professional seperti jurutera, arkitek, juruukur,
juruukur bahan dan peguam. Hari ini ramai yang muflis dan hampir muflis. Bilangan mereka bukan sedikit. Pada suatu ketika,
mereka ini merupakan harapan negara dan harapan keluarga masing-masing. Mereka membuka syarikat perundingan dan
guaman. Mereka menggaji bilangan pekerja yang ramai. Hari ini, mereka merupakan ‘silent majority’ yang menderita. Gaji
kakitangan tidak berbayar. Segala aset sudah dicagarkan. Sebagai professional mereka masih mampu melempar senyuman,
walaupun pada hakikatnya hidup penuh menderita. Mereka, atau syarikat mereka tidak menyimpan sebarang deposit dibank.
Akta ini tidak relevan bagi mereka.
Tuan Yang Dipertua,
10. Saya mencadangkan supaya Government-linked Companies(GLC) digalakkan untuk membina dan meluaskan sistem vendor
dan sistem payung dengan SME’s. Disamping itu, penubuhan bank untuk menyokong SME perlu disegerakan dengan mengguna
kriteria pinjaman yang sesuai untuk menyokong kejayaan SME’s. Cadangan syarikat jaminan Credit Guarantee Corporation
(CGC) untuk menjamin pinjaman SME secara lebih meluas dan mudah adalah satu pendekatan yang bijak. Kejayaan SME
merupakan jaminan jangka panjang bagi kestabilan ekonomi negara.
Tuan Yang Dipertua,
11. Kerajaan sepatutnya mengatasi kebimbangan tsunami kewangan dengan dasar yang lebih imaginatif dan memfokus kepada
golongan sasaran tertentu. Langkah menggalakkan GLC membimbing syarikat SME samada dipasaran dalam negara atau
dipasaran luar negara perlu disegerakan. Bukankah Menteri Kewangan sudah sebut bahawa dah tak ada sekolah, hospital dan
jalanraya yang hendak dibina didalam negara. Sekolah dan hospital yang dibina pun tak diguna dan sudah berkulat.
12. Program mengekspot perkhidmatan professional samada kejuruteraan, guaman atau kewangan perlu digalakkan. Ini boleh
dilakukan dengan inisiatif syarikat GLC. Jangan pula syarikat GLC memperlekeh professional tempatan. Trend syarikat GLC
melantik pengurusan asing atau perunding asing begi setiap urusan perniagaannya harus di timbang semula. Professional
tempatan boleh berjaya kalau diberi peluang.
Tuan Yang Dipertua,
13. Hari ini sistem perbankan hanya berminat untuk membiayai perbelanjaan melalui kad kredit, pembelian kenderaan dan
pembelian rumah. Pegawai bank mengelak membiayai bidang pembinaan dan perusahaan kerana risikonya tinggi.
14. Terdapat kes pihak bank enggan membiayai kontrak kerja daripada kerajaan kerana bimbang tidak dibayar atau terlewat
bayar. Walaupun Kementerian Kewangan menetapkan bayaran dibuat dalam tempoh 30 hari selepas kerja disahkan siap,
namun di beberapa kementerian dan pihak berkuasa tempatan bayaran dari 8 sehingga 12 bulan dah jadi perkara biasa. Ada
kalanya contractual dispute (dengan izin) sengaja dibiarkan berlarutan kerana pihak kerajaan tidak cukup wang. Selagi ada
dispute, maka selama itulah kerajaan tidak bertanggungjawab untuk bayar. Saya memohon perkara ini disiasat kerana ramai
pembekal dan kontraktor kerajaan dizalimi dengan cara yang sedemikian. Ini jugalah puncanya pihak bank mengelak dari
membiayai kontrak kerja dan bekalan kerajaan.
15. Sudah sampai masanya Bank Negara mengkaji pinjaman berlebihan bagi kad kredit. Hari ini pihak bank telah
memperkenalkan berbagai produk kad kredit untuk mencuri pelanggan dari syarikat kad kredit yang lain. Ada bank yang
menawarkan kadar faedah 0% sekiranya pelanggan sanggup memindahkan baki kredit daripada akaun kad kredit yang lain.
Ada pula bank yang menawarkan cash advance(dengan izin) dengan kadar faedah lebih rendah sehingga had maksima kad
kredit. Memang betul, pelanggan jimat bayaran faedah dan mempunyai lebihan tunai untuk berbelanja. Tetapi pada jangka
panjang rakyat semakin bergantung kepada kredit dan hutang. Akibat gagal membayar hutang, harta akan tergadai dan
diishtihar muflis. Kadar muflis di kalangan mereka yang berusia 30’an dinegara kita telah meningkat akibat kemudahan kredit
yang tiada batas.
Tuan Yang Dipertua,
16. Saya telah mencadangkan beberapa langkah yang boleh dibuat oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia bagi menghadapi
tsunami kewangan. Langkah-langkah menggalakkan pertumbuhan SME, mengekspot perkhidmatan professional, sokongan
pembiayaan industri dan perdagangan dan kawalan kredit pengguna mampu memulihkan ekonomi yang lembab dan mengelak
sistem perbankan menghadapi risiko kehilangan deposit. Apabila ekonomi subur dan meyakinkan, sistem perbankan mampu
menjalankan fungsi menyediakan modal secukupnya dan tidak perlu bimbang berlakunya kehilangan deposit.
17. Kuasa Melampau dan Imuniti Kepada Perbadanan melalui Akta ini
Tuan Yang Dipertua,
Pada permulaan tadi saya telah menyatakan bahawa selepas penubuhan Danaharta, penubuhan Perbadanan Insurans Deposit
Malaysia 2005 merupakan satu usaha memberi kuasa mutlak dan imuniti undang-undang kepada Perbadanan yang diambil oleh
kerajaan. Terdapat banyak persamaan diantara kuasa-kuasa Perbadanan dan kuasa Danaharta. Khususnya ialah peruntukan-
peruntukan daripada perenggan 71 hingga perenggan 76 yang memberi kuasa-kuasa mutlak berikut kepada Perbadanan.
17.1 Mengambil alih kawalan keseluruhan aset, liabiliti dan urusan institusi anggota [71 (c) ]
17.2 Mengarahkan institusi anggoa berhenti menerima atau membayar deposit [71(1)(a)(ii)]
17.3 Memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk melantik penerima atau pengurus [71(1)(d)]
17.4 Mengemukakan petisyen bagi menggulung institusi anggota [ 71(1)(e)]
17.5 Perbadanan tidak perlu mendapatkan kelulusan pemegang syer atau pemiutang didalam mesyuarat Agung bagi apa-apa
tindakan yang mahu dibuat melalui Akta ini [71(2)(a)]
17.6 Kuasa mengurangkan modal syer dan membatalkan syer institusi anggota. 75(1)
17.7 Tiada injunksi boleh dibenarkan dan tiada tindakan atau prosiding guaman boleh diambil keatas Perbadanan apabila ia
mengambil alih kawalan anggota [7b(1)(a)]
17.8 Perbadanan dilindungi Imuniti dari tindakan guaman dan prosiding mahkamah didalam melaksana tanggungjawab di
bawah Akta ini. 98(1)(c)
Tuan Yang Dipertua,
18. Jelas, kerajaan mahu Perbadanan kebal dari sebarang tindakan undang-undang dan Perbadanan memiliki ‘unimpeded
powers’(dengan izin) untuk mengambil alih kawalan institusi anggota. Perbadanan juga mempunyai kuasa melantik penerima
dan pengurus dan boleh mengemukakan petisyen menggulung institusi anggota. Perbadanan memiliki immuniti undang-undang.
Perbadanan yang dilengkapi dengan kuasa-kuasa mutlak sedemikian semestinya ditubuh untuk menghadapi satu suasana
darurat yang bakal melanda. Memahami maksud inilah dan jauh sekali dari mahu menakutkan saya katakana bahawa Akta ini
dibentang untuk menghadapi tsunami kewangan yang hanya kerajaan sahaja yang tahu.
19. Kos Kepada Pendeposit
Tuan Yang Dipertua,
Tidak syak lagi, pengenalan insuran deposit akan menambah kos kepada pendeposit institusi kewangan. Hari ini kadar deposit
memang rendah sekitar 3%. Dengan penetapan kadar premium tahunan sehingga 0.5%, pulangan bagi pendeposit akan
berkurangan kepada 2.5%.
Bagaimana pula keadaannya apabila premium tahunan sudah dibayar dan atas keperluan kecairan deposit dilunaskan sebelum
tempoh matang? Tidakkah ini merugikan pendeposit.
20. Kesan ‘Capital Flight’
Tuan Yang Dipertua,
Pelaksanaan skim insurans deposit akan menjadikan menabung didalam institusi kewangan negara kita tidak menarik. Pulangan
menjadi rendah dan ditambah pula dengan birokrasi insuran. Modal asing tidak akan singgah ke negara kita sementara modal
dalam negara akan mencari destinasi yang lebih menarik i.e Capital Flight(dengan izin). Kesan kepada sistem kewangan perlu
difikirkan. Ini akan memberi tekanan kepada peningkatan kadar faedah dan penguncupan ekonomi negara.
21. Penutup
Tuan Yang Dipertua,
Akta ini memberi isyarat menakutkan mengenai sistem perbankan negara kita. Bank kita sudah tidak selamat. Seolah-olah
simpanan rakyat dan syarikat didalam sistem perbankan akan hilang. Ini bukan cakap pembangkang atau khabar angin media
asing. Ini kenyataan kerajaan dan menjadi sebab kenapa Akta ini digubalkan. Bank Negara seolah-olah tidak mampu mengawal
perjalanan bank melalui Akta-Akta Bank sedia ada. Bank Negara bimbang simpanan deposit akan terjejas atau hilang. Inilah
maksud Akta ini. Menteri Kewangan perlu menjelaskan kebimbangan ini. Saya menunggu jawapannya.