Gantirugi ‘Buku 50 Dalil’ untuk tabung kemiskinan, kata Anwar
Oleh Zulkifli Mohamed
KOTA KUALA MUDA: Gantirugi berjumlah RM4.5 juta yang bakal diperolehi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, melalui saman beliau ke atas Datuk Khalid Jafri Abu Bakar Syah penulis buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak
Boleh Menjadi PM” akan disalurkan kepada golongan miskin di negara ini.
“Saya tidak akan sentuh walau sesen pun wang gantirugi itu, saya akan berbincang dengan para peguam saya bagi mewujudkan
tabung khas untuk membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan.”
Anwar mengumumkan perkara itu ketika berceramah selepas melawat mangsa tsunami di di sini, Jumaat.
Selain itu, kata Anwar gantirugi daripada Bekas Ketua Polis Negara, mengenai kes mata lebamnya pula akan digunakan untuk
membantu keluarga mangsa tahanan ISA.
Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, 17 Ogos lepas memerintahkan Khalid membayar gantirugi berjumlah RM4.5 juta,
daripada jumlah RM6.5 juta yang dituntut Anwar.
Julai lalu Mahkamah yang sama telah menjatuhi hukuman setahun penjara terhadap Khalid kerana menulis maklumat palsu dalam
buku tersebut yang membawa peristiwa pemecatan Anwar September 1998.
Mengulas lanjut perkara itu, di Kelang Lama, Kulim kemudiannya, Anwar menyatakan tindakan saman itu dikemukakan pada
Jun 1988 ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri, bagi menyahut cabaran Khalid supaya beliau menyamannya.
“Saya tidak ada pilihan lain ketika itu, melainkan menyaman penulis buku itu yang mencabar saya menyamannya bagi membela
maruah saya,” jelasnya.
Setelah tujuh tahun, kata Anwar akhirnya mahkamah memutuskan ‘Buku 50 Dalil’ adalah buku fitnah dan mengakui ada
konspirasi politik untuk menjatuhkan beliau di sebalik penerbitan buku tersebut.
Anwar selanjutnya berkata dalam penghakiman kes tersebut, hakim memutuskan “Semua tuduhan dalam buku ini keterlaluan,
fitnah, jahat, cukup kotor dan jijik sekali. Ada konspirasi politik, sebab itu buku 50 Dalil diedarkan dalam Perhimpunan Agung
Umno, dan memang ada pemimpin-pemimpin tertentu terlibat.”
Sehubungan itu, kata Anwar, kini telah ada pemimpin-pemimpin Umno yang tampil memohon maaf kepada beliau.
“Ada pemimpin-permimpin Umno yang datang berjumpa saya baru-baru ini, memohon maaf dan menceritakan bagaimana
selepas saya dipecat mereka telah diarahkan oleh Tun Dr Mahathir, supaya berusaha menghancurkan karier politik saya walau
dengan apa cara sekalipun,” jelas Anwar.
Tapi kata Anwar walau sehebat mana sekalipun perancangan manusia, tidak mungkin dapat mengatasi perancangan Allah s.w.t.
“Kali ini kita akan lawan, kita akan bangun semula, membujur lalu melintang patah,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh
ribuan hadirin.
Sementara itu, Presiden Keadilan, YB Datin Seri Azizah yang ditemui Malaysia Today tidak menolak kemungkinan, Anwar
akan mengambil tindakan susulan terhadap para konspirator yang terlibat dalam penerbitan buku ‘50 Dalil’.
Dalam perkembangan berkaitan, diberitakan Khalid Jafri masih tenat setelah pehanya dipotong akibat penyakit kencing manis.
Beliau telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Columbia Asia, Seremban, 2 Ogos sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang 14
Ogos lalu.