SEPANG ONLINE




August 19 , 2005

Tolak DEB demi keadilan untuk semua - Anwar

Oleh HASHIM ABDULLAH

KUANTAN, 19 Ogos (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengulangi desakan agar Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditolak kerana tidak mampu memberi keadilan kepada rakyat serta diambil kepentingannya oleh sebilangan kecil golongan Melayu dalam pimpinan Umno.

Gesaan beliau dinyatakannya pada program Majlis Makan Malam Perpaduan Rakyat anjuran Perhubungan KeAdilan Rakyat Pahang di Lee Yuan Restauran, dekat sini, baru-baru ini.

Pada program tersebut seramai 700 tetamu hadir dari pelbagai kaum memenuhi ruang dewan yang disediakan. Turut hadir Timbalan Presiden Parti KeAdilan Rakyat, Dr Syed Husein Ali; Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man serta pimpinan parti alternatif Pahang.

“Saya cadangkan untuk kebaikan orang Melayu, untuk kebaikan orang Cina, orang India, Kadazan, Iban, kita buang Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru hanya mengkayakan sebilangan kecil Melayu dalam Umno. Tiga empat kerat saja yang dapat,” kata Anwar.

Beliau menambah perlunya dibuat suatu dasar ekonomi yang baru bagi mengantikan DEB untuk membantu semua golongan miskin di negara ini tanpa mengira kaum kerana cabaran yang sudah berubah.

“Kita buat dasar untuk rakyat Malaysia. Kita ambil dasar Melayu miskin kita tolong, Cina miskin di pekan, bukan tak ada miskin, ada, kita tolong. India miskin kita tolong.

“Oh ada orang kata dulu masa dalam Umno, u sokong DEB. Ya, itu dulu DEB tahun 1970, sekarang menteri otak tahun 1970. Sekarang cabaran sudah berubah, ” katanya.

Anwar juga turut menekankan perlunya rakyat bangkit membuat perubahan tanpa rasa takut bagi membolehkan keadilan dinikmati oleh semua rakyat.

“Rakyat perlu bangkit buat perubahan. Sekarang kita dari KeAdilan dan PAS, DAP sudah pakat kalau tak ada keadilan pada orang Melayu kita lawan. Kalau tak ada keadilan pada orang Cina kita lawan. Kita sudah pakat,” katanya. - mks.


©2005, Sepang OnLine


| kembali | Hubungi kami |