SEBERANG JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu pemberian permit import (AP)
hanyalah satu contoh kecil penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan yang tidak mengamalkan ketelusan dalam
pemerintahannya.
“Apabila tidak ada ketelusan, (dalam pemerintahan) bererti tidak ada “good governance” iaitu cara kaedah pemerintahan yang
baik,” katanya.
Sebab itu, menurut Anwar, DEB yang dilancarkan pada 1970 oleh Tun Abdul Razak untuk membantu kaum bumiputera, kini
telah dikhianati pemimpin-pemimpin Umno.
“Kita boleh tengok lama-kelamaan, kerosakan itu kini menjadi barah, menjadi kanser,” kata Anwar dalam ceramah pada
Jamuan Perdana di Taman Kelasah, Seberang Jaya, Jumaat lalu.
Katanya lagi, isu AP bukan kesalahan individu semata-mata, tetapi kerana dasar yang yang tidak telus.
“Isu AP ini bukan masalah Rafidah saja, bukan pula bermaksud saya mempertahankan Rafidah, tetapi kalau kita menyalahkan
Rafidah seolah-olah dia seorang sahaja yang salah, ini tidak betul.
“Jadi kalau bukan masalah Rafidah masalah siapa?” tanyanya.
Masalah sebenar isu AP menurut Anwar ialah kerana dasar yang tidak betul dan tidak ada ketelusan. Dengan itu berlakulah
salah guna kuasa, percanggahan kepentingan dan rasuah di kalangan para pemimpin Umno.
Anwar turut mendedahkan, pemberian AP dalam tempoh dua tahun, sebanyak RM2 ribu juta wang rakyat dibolot atas nama
bumiputera oleh anak, kaum keluarga beberapa kerat orang kaya bergelar Tan Sri dan datuk yang sudah kaya raya.
Sambungnya lagi, masalah AP hanyalah satu aspek kecil dalam Dasar Ekonomi Baru, tetapi perhimpunan Agung Umno
menggunakan isu AP untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu besar lain. Antaranya masalah politik wang, hilangnya
keyakinan rakyat kepada pimpinan Umno dan isu kenaikan harga minyak.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, masalah AP bukannya masalah baru, kerana beliau pernah bercanggah
pendapat dengan kepimpinan kerajaan berkaitan perkara itu ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan.
“Yang saya berselisih pendapat dengan pimpinan pada masa itu, kerana masalah inilah. Masalah AP ini bukannya masalah baru.
Kalau BPR hendak tanya saya, boleh tanya, saya boleh jawab.
“Telah keluarpun dalam mesyuarat jemaah menteri (kabinet) ada minit ada rekod. Kalau saya cerita nanti depa kata saya
langgar Akta Rahsia Rasmi (OSA) pula, macam Ezam kena kerana dedahkan rasuah Rafidah.