SEPANG ONLINE



Ke arah mewujudkan masyarakat madani


Minda Anwar

Kelahiran masyarakat madani bertitik tolak dari kesedaran masyarakat mengenai kemurniaan nilai- nilai tersebut. Justeru itu ia berkait rapat dengan tradisi ilmu dan pemekaran budaya. Sheikh Muhammad Abduh umpamanya, tatkala mengutarakan konsep al-mujtamaat al-madaniyah menetapkan faktor kebebasan termasuk kesegaran ilmu dan kecerdasan berfikir dan sistem perundangan yang adil.

Justeru itu, ia tidak terbatas kepada permasalahan politik dan sama sekali tidak berpaut kepada kekuasaan. Bahkan ia harus terpancar dari keyakinan, tercerna dari dhamir dengan kefahaman yang mendalam. Kerana sesungguhnya nilai kebenaran dan keadilan adalah luhur dan tidak boleh tercemar lantaran faham politik atau kaum. Tuntunan perlaksanaan prinsip al-adl wal-ihsan adalah universal; mengatasi pertimbangan kabilah dan agama. Maka Rasullullah s.a.w, menegaskan tanggungjawab pemimpin dalam mengegakkan keadilan kerana “imam adil” merupakan manusia yang paling dicintai Allah s.w.t; walhal “imam jair”, yakni yang zalim dan penindas adalah yang paling dibenci Allah s.w.t.

Begitu juga dengan prinsip kebenaran yang sukar dicapai dalam iklam politik yang membelenggu fikiran dan wacana bebas dilarang. Peningkatan kefahaman dan kesedaran diletakkan dalam urutan keutamaan dalam rangka kedudukan pembaharuan. Sheikh Yusuf al-Qardhawi dalam Min Fiqh al-Daulah (Fiqh Kenegaraan), merumuskan bahawa keresahan yang melanda masyarakat kita berada ditahap “parah”. Maka tidak memadai di ungkit kemungkaran kecil seperti majlis nyanyian dan tarian gila, pendedahan aurat wanita atau penjualan video lucah. Yang perlu ditekankan ialah “perubahan yang lebih menyeluruh yang melibatkan pemikiran, pemahaman, akhlak, amalan, adab, tradisi serta sistem perundangan.” Beliau merujuk kepada firman Allah s.w.t ar Ra’ad 13:11 mengenai keperluan kaum merubah diri mereka sendiri.

Seringkali pelbagai alasan dikemukakan sebagai dalih mengelak dari melaksanakan tanggungjawab sedemikian. Atau sekadar menjadikan isu al-adl wal ihsan sebagai wacana ilmu secara terpisah dari kenyataan hidup. Dalam hal yang pertama, ia didorong oleh kalangan yang berkepentingan berkaitan kedudukan atau habuan. Begitu pula kalangan yang sekadar membicara isu keadilan secara umum dan samar tetapi tidak punyai keberanian atau kekuatan moral untuk mendedahkan kepincangan, rasuah dan kezaliman di negara sendiri.

Filasuf Aristotle dalam mengupas konsep virtus (ihsan), menekankan kemungkinan mencapai tahap kecemerlangan melalui sistem pendidikan yang tepat serta kurikulum yang melibatkan pengajian mantiq (retorik) dan falsafah silam. Tetapi agak menarik manakala Petrach dalam On His Own Ignorance (1367) yang memuji Aristotle kerana pengamatannya yang mendalam mengenai virtus; tetapi tidak mendorong kearah kecintaan terhadap virtus atau kebaikan dan kebencian terhadap kemungkaran. Menurut Petrach teori-teori tersebut tidak dapat dikaitkan dengan kehidupan harian, maka mereka berakhir dengan “menguasai ilmu mengenai ihsan tetapi tidak mengamalkannya.” Dan berkaitan dengan aspek kedua, Sheikh al Qardawi, menyampaikan cerita popular rakyat tentang bagaimana Fir’aun menjadi seorang taghut. Fir’aun menjawab, “….taghut dan penindas ialah kerana saya tidak pernah menemukan seorang pun yang berani membantah pendapat saya.”

Lantaran itu, paksi utama perlembagaan rakyat negara merdeka ialah jaminan kebebasan bersuara dan berpersatuan; serta penetapan sistem kehakiman yang adil dan bebas dari kuasa eksekutif. Disebaliknya, dalam sistem kuku besi atau di mana sistem demokraasi yang tercemar, sendi utama negara seperti badan penguatkuasa dan perundangan bertindak di bawah telunjuk penguasa.

Kelahiran masyarakat madani mengandaikan wujudnya kebebasan bersuara yang mampu melahirkan wacana terbuka. Soal tanggungjawab, pencernaan hasrat rakyat mampu diungkapkan. Isu penyelewengan, rasuah dan kezaliman dapat didedahkan. Tetapi yang lebih utama dalam rangka kelahiran masyarakat madani adalah kefahaman, kesedaran dan usaha memperkasa rakyat yang memahami hak dan tanggungjawab mereka.
©2005, Sepang OnLine


| kembali | Hubungi kami |