Seperkara yang terhakis dalam sistem demokrasi di Malaysia ialah pilihanraya bagi Majlis-
majlis Tempatan atau Local Councils.
Pilihanraya Majlis Tempatan diperkenalkan pada tahun 1952 dan ia menjadi pengalaman pertama bagi
penduduk-penduduk tempatan ke arah berkerajaan sendiri yang bercorak demokrasi. Pada akhir 1955,
sebelum Merdeka, Persekutuan Tanah Melayu mempunyai 250 Majlis Tempatan dan Luar Bandar yang
dipilih sepenuhnya.
Signifikan pilihanraya Majlis Tempatan tersebut ialah ia merupakan langkah pertama bagi
pilihanraya umum peringkat Majlis Perundangan Persekutuan yang diadakan pada 27 Julai 1955.
Dalam pilihanraya umum sebelum Merdeka itu, Perikatan memenangi 51 kerusi dan Partai Islam
SeTanah Melayu (PAS) satu kerusi. Sebenarnya Majlis Perundangan itu mempunyai 98 ahli terdiri
daripada 52 dipilih, 35 dilantik dan yang 11 lagi adalah Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua
Menteri.
Pada 31 Ogos 1957, negara mencapai kemerdekaan dan menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan yang
digubal oleh Suruhanjaya Lord Reid.
Perlembagaan tersebut memperuntukkan pembentukan dua Majlis Parlimen di peringkat Persekutuan,
iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dan pembentukan Dewan Undangan Negeri-negeri Persekutuan
Tanah Melayu di samping mengekalkan Majlis-majlis Tempatan.
Mengisi keanggotaannya, pilihanraya umum diadakan bagi Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri-negeri
dan Majlis Tempatan. Proses pemilihan ini diadakan buat kali pertamanya dalam pilihanraya umum
pertama selepas Merdeka pada 1959.
Tetapi pilihanraya umum tidak diadakan bagi mengisi keanggotaan Dewan Negara.
Masa telah berlalu lebih dari 4 dekad sejak pilihanraya umum pertama selepas Merdeka. Warganegara
yang pertama kalinya mengundi dalam pilihanraya umum pertama 1959 kini sudah berumur sekurang-
kurangnya 64 tahun. Warga lama ini pernah menikmati pengertian demokrasi yang agak menyeluruh.
Pilihanraya umum 1959 membuka ruang kepada rakyat memilih ahli-ahli Dewan Rakyat untuk
menjalankan fungsi legislatif peringkat nasional, Dewan Undangan Negeri untuk fungsi peringkat
negeri dan Majlis Tempatan untuk fungsi peringkat akar umbi.
Hari penamaan calon pilihanraya tahun 1959 diadakan pada 18 April dan mengundi pada 23 Mei,
membenarkan tempoh berkempen selama 35 hari. Tempoh kempen pilihanraya itu membolehkan parti-
parti politik dan calon-calon bertanding di 104 kawasan parlimen berusaha meraih sokongan undi
daripada 2,133,272 pemilih.
Ruang demokrasi telah dibuka dengan luas bagi membolehkan rakyat membuat pilihan secara bebas dan
bermaklumat.
Rapat umum dibenarkan di padang dan pentas terbuka sekalipun negara masih diancam Parti Komunis
Malaya dan berada dalam keadaan Darurat.
Media massa termasuk akhbar Utusan Melayu dihormati pembaca kerana liputan yang adil dan
seimbang, walaupun bukannya sedikit penganut mazhab Josef Goebbels dalam kerajaan almarhum Tunku
Abdul Rahman Putra.
Kewibawaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak dipertikaikan sekalipun ketika itu belum memiliki
telefon multimedia, komputer bimbit, laman jaringan, daftar pemilih cakera padat atau lebih
seratus ribu petugas petugas-petugas pilihanraya.
Pilihanraya umum 1959 menyaksikan kemenangan Perikatan membentuk kerajaan dengan memperolehi 74
kerusi parlimen. Parti-parti pembangkang turut mencapai kemenangan; PAS 13 kerusi, Front Sosialis
8 kerusi, Parti Progresif Rakyat 4 kerusi, Parti Negara 1 kerusi dan lain-lainnya termasuk bebas
5 kerusi.
Dewan Rakyat menyaksikan kehadiran barisan tokoh-tokoh demokrat yang merancakkan demokrasi
berparlimen seperti Zulkiflee Muhammad, Lim Kean Siew, D.R. Seenivasagam, S.P Seenivasagam,
Ahmad Boestamam, K. Karam Singh, V. David dan Dato’ Onn Jaafar.
Ruang demokrasi ketika itu menyediakan kemenangan PAS membentuk Kerajaan-kerajaan Negeri untuk
kali pertamanya di Kelantan dan Terengganu.
Pilihanraya Majlis-majlis Tempatan pula melonjakkan beberapa tokoh pemimpin akar umbi Front
Sosialis seperti Tan Boon dan kemudiannya Hasnol Hadi sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran
Melaka walaupun Kerajaan Negeri Melaka berada di bawah kepimpinan Ketua Menteri Perikatan Ghafar
Baba.
Keputusan pilihanraya umum pertama 1959 di peringkat Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri-negeri
dan Majlis-majlis Tempatan mengukuhkan legacy pemerintahan Tunku sebagai bapa kemerdekaan negara.
Almarhum juga boleh disifatkan sebagai bapa demokrasi negara khasnya dalam konteks perjalanan
pilihanraya umum pertama pada tahun 1959. Namun, apa dasar dan perlaksanaan kerajaan Tunku
selepas kemenangan itu adalah suatu perkara yang lain.
Bahkan tidak keterlaluan jika disifatkan proses pilihanraya umum pertama 1959 sebagai proses
pemilihan yang paling bersih, bebas dan adil dalam sejarah pilihanraya negara.
Proses demokrasi itu berjalan dalam keadaan dimana ancaman bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM)
masih hebat. Darurat yang diisytiharkan pada 1948 masih berkuatkuasa. Akta Kediaman Terhad 1933,
Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak 1948, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Akta Ketenteraman
Awam (Pemeliharaan) 1958 dan Akta Pilihanraya 1958 telahpun digubal sebelum Merdeka dan dipakai
sebagai perundangan mengawal keamanan dan perjalanan proses demokrasi.
Penyediaan ruang demokrasi sebenarnya menjadi benteng terkuat untuk menghalang sebarang usaha
PKM dan mana-mana kumpulan atau ideologi yang berhajat mengubah sistem politik secara
nondemokratik. Rakyat berkeyakinan mereka mempunyai pilihan yang lebih baik secara aman untuk
merubah keadaan.
Ruang demokrasi pilihanraya umum1959 yang disediakan kepada rakyat mematahkan hujah-hujah Chin
Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD, Abu Samah Kassim dan Suriani Abdullah yang menganjurkan
perubahan sistem politik menerusi perjuangan bersenjata atas platfom PKM.
Apabila ruang demokrasi diperluaskan kepada rakyat, pendekatan perjuangan kumpulan bersenjata
atau ideologi militan akan kehilangan elemen terpenting dalam kemenangan, iaitu mass support
atau sokongan massa.
Oleh kerana itu, membina demokrasi sebenar dan memperluaskan elemen-elemennya adalah faktor
terpenting dalam pembentukan ketahanan dan kecemerlangan sesebuah bangsa dan negara. Dalam
konteks dunia moden, demokrasi menjadi elemen penyubur kepada kebangunan sesebuah tamaddun.
Menyempit apatah lagi menidakkan demokrasi bererti menyempit atau menidakkan sokongan massa
kepada sistem politik dan pemerintahan.
Tanpa sokongan massa, apa jua perjuangan tidak mungkin berjaya. Memperketatkan undang-undang,
penggunaan instrumen-instrumen kekuatan seperti senjata dan peluru belum tentu menjamin
pertapakan kuasa selama-lamanya jika rakyat tidak menyokong dan membenci legacy pemerintahan.
Ini dialami bukan sahaja oleh para diktator Asia seperti Shah Iran, Suharto, Marcos, tetapi juga
kuasabesar Amerika Syarikat di Vietnam dan bekas Soviet Union di Afghanistan.
Dengan sokongan massa, perjuangan pastinya menghasilkan kemenangan. Dan apabila kemenangan itu
dicapai, demokrasi dan penyuburannya perlu dimantapkan agar rakyat dapat berperanan dengan lebih
berkesan dalam proses pemerintahan.
Ini bukan sahaja melibatkan proses pilihanraya yang adil, bebas dan bersih bagi memilih
kepimpinan politik di peringkat nasional, malahan institusi-institusi demokrasi itu sendiri
perlu dibina secara menyeluruh bermula dari peringkat akar umbi rakyat.
Dalam konteks Malaysia, institusi demokrasi masih menghadkan rakyat hanya kepada pemilihan
ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri-negeri. Rakyat masih belum dirundingkan dalam
soal pemilihan ahli-ahli Dewan Negara. Rakyat jauh sekali dipelawa memilih wakil-wakil sebenar
mereka ke Majlis-majlis Tempatan yang menguruskan hal ehwal kehidupan dan keperluan mereka di
peringkat akar umbi.
Secara menyeluruhnya, negara perlukan reformasi kepada struktur dan institusi demokrasi agar
benar-benar berfungsi untuk kepentingan rakyat.
Pastinya menyuburkan demokrasi bukan menjadi agenda utama Barisan Nasional yang menguasai
Kerajaan Persekutuan dan majoriti Kerajaan Negeri-negeri.
Sebagai module, ia boleh diperkenalkan di Kelantan dan Terengganu. Ia boleh bermula dengan
pemilihan ahli-ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Kuala Terengganu yang dijalankan serentak
dalam masa pilihanraya umum akan datang jika tidak diadakan secara berasingan.
Mungkinkah pemulihan demokrasi akar umbi ini menjadi kenyataan? Tiada yang mustahil dalam politik
demokrasi.